Skip to main content

Kuali Mertua Lauk Menantu... di tv2

Sinopsis


Kita mampu dapatkan cinta sejati dan kebahagiaan bila kita mampu buat keluarga kita bahagia dan bersatu.

Lela, (23), comel, periang, suka menyakat,dan bekerjaya klik-klik. Dia jadi ‘photographer’ wanita yang kerja di studio seniornya di KL bersama kawan baiknya Ona selepas selesai jalani praktikal dan habis belajar. Lela dibesarkan oleh ayahnya, En Lukman. Tapi sebab En Lukman ni kerja atas kapal dan selalu belayar, Lela kena tinggal dengan neneknya Wan Ipah dan Mak Ngahnya. Pendek kata, membesar dengan cara hidup kampung. Tapi bukan kekampungan okay, sebab nenek dan Mak Ngah Lela ni jenis yang lasak dan hip-hop. Sapa boleh percaya, dorang ada lesen kelas H, bawak pelbagai jenis trektar termasuk trektar bajak sawah yang gadang tu. Tapi tu dulu. Sekarang ni, Wan Ipah dan Mak Ngah dah tua. Tak larat dah nak poco-poco tengah sawah tu. Jadi mereka sewakan je untuk orang lain usahakan. Tapi hidup Lela dan mereka sentiasa ceria. Ibu Lela pula katanya, kerja kat luar negara lepas cerai dengan ayahnya. Masa tu Lela baby lagi, umur 2 tahun. Tapi dua tahun lepas tu, dia meninggal di US kerana sakit misteri.

Haikal Mikael, (27), arkitek muda yang berjaya. Kacak tapi serius je dengan kerja sampai lupa dunia luar. Ada girlfriend, seorang model nama Nina. Tapi model tu yang tergedik-gedikkan dia. Sedangkan Haikal, macam ‘lost’ je setiap kali kena teman si Nina. Nak kata cinta, macam takde perasaan. Las-las Haikal letak status dalam FBnya, ‘In Relation but no one’. Nina ni suka heret Haikal pergi studio untuk fotografi dan kadang-kadang pergi buat ‘fashion show’. Haikal pun menurut jelah. Tapi jangan haraplah dia nak ambik tahu awek dia pakai fesyen apa, warna apa, posing macam mana. Bila di lokasi, dia lebih rela layan game di handphone. Haikal anggap itu adalah masa rehatnya selepas penat bekerja. Ibu dan ayah Haikal bercerai masa umurnya 10 tahun. Orang cakap, ibunya ada skandal dengan lelaki lain masa tu. Dan buktinya, ibu dia dah nikahpun dengan orang yang sama dan sekarang ada 2 orang anak hasil perkahwinan barunya. Tapi masa tu, Haikal diberi pilihan oleh orang tuanya, nak duduk dengan siapa. Of cozlah, Haikal pilih tinggal dengan papanya, Chef Hafiz Mudin, memang chef yang diakui keenakan masakannya dan ada ramai follower di IG. Sekarang dia dah jadi otai yang dikagumi. Papa Haikal dan Papa Lela adalah sepupu cum sahabat baik.

Walaupun Haikal dan Lela ada hubungan saudara berstatus dua pupu, tapi mereka memang tak kenal. Ye lah, Haikal ni duduk asrama masa umur 13 tahun, sampailah dia lanjut pelajaran ke luar negara. Bila dia balik, jadi pula ‘Raja Giler Kerja’. Pada dasarnya, dia kenallah dengan nenek Lela sebab adik pada neneknya. Tapi Lela, memang haramlah dia nak kenal. Kali pertama mereka jumpa ketika Haikal temankan girlfriend perasan cun nya ke studio tempat Lela kerja. Kena pula hari tu, Lela ditugaskan ambil gambar Nina sebab bossnya ada kerja luar. Entah kenapa, tiba-tiba lensa kamera Lela asyiklah nak tala muka Haikal yang tengah leka main game. “Wow, mamat ni handsomelah. Kalah model lelaki popular. Ni kalau aku post kat IG, mahu viral dia”, pujian pertama yang keluar dari mulut Lela tentang Haikal. Dan bila Nina kena tukar baju, masa tu lah Lela guna kesempatan nak klik-klik lebih-lebih pada Haikal. Sampai Ona cakap dia dah jatuh hati dengan Haikal.  Lela ingat, Haikal tak perasan apa dia buat? Si Haikal yang konon-kononnya ‘control macho’ masa tu memang nampak peel si Lela ni. Tapi dia biarkan saja. Peliknya, wajah si Lela ni terbawa-bawa pula sampai ke rumah. “Haish, kerja giler apa aku ni asyik fikirkan minah tukang ambik gambar tu? Tapi, boleh tahan cun jugak. Hai, anak siapalah…”

    Suatu hari, En Lukman balik dari belayar. Kali ni dia cuti lama sikit. Apalagi? Dating dengan sepupu a.k.a sahabat baiknya si Chef Hafiz Mudin tu lah. Kalau bapak jumpa bapak, apalagi yang nak diborakkan selain dari kerja? Dah tentu pasal anak-anaklah. Masing-masing risau tentang kehidupan anak-anak mereka. Chef Hafiz Mudin risau takut si Haikal tersalah pilih bini. Dahlah Haikal jarang nak tengok dunia luar. En Lukman pulak risau tengok anak daranya yang ranggi. Takut jugak kalau tersongsang sebab hari-hari Lela asyik tangkap gambar model-model cun, pastu balik cerita kat papanya, “Model tu cun giler lah paa..untung kalau dapat buat kapel”. Mulalah En Lukman fikir yang bukan-bukan. Padahal anaknya nak kenen-kenenkan dia yang dah kematu menduda tu supaya cari bini baru. Tiba-tiba, boleh pulak terkeluar idea selamber mereka nak jodohkan Haikal dan Lela. Kwang Kwang Kwang… Meleret-leret sampai bawak berbincang dengan Wan Ipah dan Mak Ngah. Akhirnya masing-masing capai kata sepakat nak lancarkan je misi jodohkan dua ‘alien’ tu. Sorang dari planet of the rock dan sorang lagi dari planet of the blues. Rasa-rasa boleh ngam tak dorang ni?

      Memangpun sejak akhir-akhir ni, kerap pulak Lela dan Haikal terserempak. Mungkin rahsia jodoh kot. Tapi macam biasalah, Haikal tetap dengan peel ‘cover’ malunya. Tak banyak cakap. Si Lela pulak yang banyak bercakap sampai kadang-kadang dia rasa macam tegur dinding dan batu. ‘Serius pendiam mamat ni’, fikir Lela. Kadang-kadang dia naik menyampah pulak tengok Nina yang ‘over’ menggatal dengan Haikal sedangkan Haikal macam selalu, ‘coverline’, tak nak orang kata dia tu ‘steady boyfriend’ Nina.

      Mulanya, Haikal dan Lela agak terkejut badak jugalah bila diberitahu tentang rancangan papa-papa mereka nak nikahkah mereka. Si Lela tak kisah sangat, tapi dia risau tentang hubungan Haikal dan Nina. Tapi yang peliknya, boleh pula Haikal setuju nak jadi suami dia. Habis, apahal dengan Nina? Lalu Haikal berterus-terang dengan Lela yang dia dan Nina memang dah lama kawan sejak di luar negara lagi. Tapi sampai sekarang dia hanya sekadar layan je peel si Nina sedangkan dia memang takde perasaan cinta pada Nina. Tapi bila Lela tanya, adakah Haikal ada simpan perasaan padanya? Selamber juga Haikal menjawab, takde lagi. ‘Aiyoo..dia ni lelaki sejati ke tak?’, tiba-tiba soalan cepumas tu terjah ke jiwa Lela. Takut jugak dia kalau tersilap kawin dengan lelaki yang berjiwa ‘satu lagi’ tu. Tapi disebabkan tak nak hampakan permintaan papa, Wan Ipah dan Mak Ngahnya, Lela turutkan jua. Namun sebelum mereka kawin, meroyan jugalah si Nina. Sibuk marah-marah Lela dan tuduh Lela rampas kekasih hatinya. Tapi bila Haikal bersuara yang dia takde rasa cinta pada Nina, terus Nina terdiam. Ye lah, selama ni sepatah haram pun tak pernah keluar pengakuan dari mulut Haikal tentang perasaannya pada Nina. Maknanya, Nina bertepuk sebelah tangan okay. Kan dah malu…


      Sampai masanya, maka bernikahlah Haikal dan Lela. Sejak malam pertama, Haikal hanya tunjuk reaksi wajah kosong je setiap kali Lela berbicara dengan nada kecohnya. Paling takpun, dia senyum sebab bagi dia, si Lela ni memang ting-tong sikit. Selepas itu, Haikal dan Lela disuruh balik kampung untuk tinggal selama seminggu bersama Wan Ipah dan Mak Ngah. Ketika itulah, sikit demi sikit Haikal mulai kenal perwatakan Lela. Nampak saja kecil molek, tapi Lela ni sebenarnya berganda lasaknya di kampung. Segala ceruk kampung diheretnya Haikal termasuklah bawa Haikal naik trektar sawah yang dipandunya sendiri. “Awak ni, segala jenis mak nenek lesen ada kan? Lesen apa yang awak takde, kenderaan apa yang awak tak bawak?”, tanya Haikal. Dengan selambernya Lela menjawab, “Semua kenderaan yang saya ada lesen, saya dah bawak. Cuma satu je lagi lesen yang saya ada, tapi saya tak dapat bawak lagi. Lesen nak bawak hati saya masuk dalam hati awak”. Auwww..pikap line si Lela buatkan Haikal ternganga kejap. Malah hari-hari Lela akan cakap, “awak ni handsomelah”, pada suaminya itu. Dan sikap sempoi dan selamber Lela, plus sikap periangnya sentiasa jadi perhatian Haikal yang memandang dan belajar tentang isterinya itu dalam senyap. Bahkan mata Haikal tak berkedip bila lihat Lela kenakan baju kurung cotton dan rambutnya disanggulkan. ‘Masya Allah cantiknya. Betul-betul persis gadis melayu terakhir’, puji Haikal dalam hati. Memang itulah cara Haikal, memerhati dalam mempelajari. Dan sikit demi sikit dia dapat terima sikap Lela dan jatuh cinta padanya. Tapi di kampung, ada cabaran juga. Ada sorang mamat kampung yang digelar abang long Kg Dusun, bernama Sharol memang syokkan Lela sejak zaman sekolah lagi. Padahal, dia dah ada binipun. Bila dapat tahu Lela dah nikah, naik meroyanlah dia. Selalu jugaklah dia ganggu Lela dan Haikal berdua-duaan. Mujurlah Haikal ni sporting dan anggap Sharol ni macam langau je. Tapi Sharol memang jenis hati kering. Dia janji akan porak perandakan hubungan Haikal dan Lela. 

      Semasa di kampung, tiba-tiba Lela lihat Haikal sedih. Risau jugak Lela kalau-kalau dia dah tersakitkan hati suaminya tanpa sengaja. Risik punya risik, barulah Lela tahu macam mana hubungan sebenar Haikal dengan ibunya, Hashimah. Hari itu, Haikal baru lepas bertengkar dengan ibunya yang hubungi dia dan marah-marah sebab ikut isteri balik kampung. Rupanya, Hashimah tak pernah suka dengan penikahan Haikal dan Lela walaupun hubungannya dengan Haikal tak semesra anak dan ibu lain. Semasa Chef Hafiz Mudin rancang nak kawinkan Haikal dengan Lela, ada juga Hashimah bertekak dengan dia. Kalau boleh Hashimah tak nak Haikal kawin dengan Lela sebab takut Lela terikut-ikut perangai ibunya. Ibu Lela dulu dikatakan kuat membazir hingga ayah Lela tak tahan dan ceraikan ibunya. Lepas tu kononnya, ibu Lela menggatal pula dengan mat saleh lalu ikut mat saleh tu pindah ke luar negara. Sebab tu lah, matipun misteri. Tapi tu versi cerita Hashimahlah. Memang dia kenal ibu Lela tu sejak zaman sekolah lagi dan tak pernah ngam. Katanya, ibu Lela tu spesis gedik dan curang. Eleh, macamlah dia tak curang. Kalau tak, takdelah dia bercerai dan kawin dengan skandalnya. Sampai Haikalpun naik menyampah dan susah nak terima perbuatan Hashimah tu.

      Lela terpanggil untuk jernihkan hubungan Haikal dan ibunya. Sebab apapun alasannya, syurga Haikal tetap pada Hashimah dan syurga dia adalah pada Haikal. Lalu Lela rujuk dari papa mertuanya, apa sebenarnya terjadi sampai Haikal tak boleh ngam dengan mamanya. Rupanya, Chef Hafiz Mudin bercerai dengan Hashimah dulu bukan semata-mata sebab Hashimah ada skandal je, tapi sebab kononnya Hashimah tak tahan dengan sikap bekas suaminya itu yang dikatakan kuat membazir. Ye lah, masa dengan Hashimah dulu, semuanya tak boleh. Beli makanan lebih sikit tak boleh, berbelanja untuk cantikkan rumahpun tak boleh, malah nak beli barang keperluan anak mereka sendiripun, Hashimah punyalah berkira. Memang tak melampaulah kalau nak cakap si Hashimah ni dalam golongan kedekut alias bakhil. Kata Hashimah pada Chef Hafiz Mudin, dia tuntut cerai sebab tak tahan tengok bekas suaminya berbelanja dan tak simpan duit, walaupun duit itu duit Chef Hafiz Mudin sendiri. Dan kononnya juga, suami barunya alias sekarang lebih pandai berjimat-cermat, bolehlah mereka kumpul harta.

      Tapi, selepas 17 tahun Hashimah nikah dengan suami barunya, En Manaf, sampai dah ada dua anak, Mila (15) dan Adam (12), takde juga kaya, takde juga kumpul harta. En Manaf dan anak-anaknya terpaksa hidup dengan sikap bakhil Hashimah dari segi harta benda, belanja, malah ke bab makanpun kedekut. Sampai nak beli barang keperluan sekolah anak-anakpun berkira. Bagi Hashimah, makan apa yang patut untuk lapik perut saja. Dari duit tu dihabiskan ke benda-benda tak berfaedah, baik disimpan. Dan kini, Hashimah bangga sebab ada duit simpanan yang banyak. Memang tak dinafikan, hari-hari dia akan check baki duitnya dalam internet bankingnya. Jangan harus kurang walau seposen, memang digagaunya pihak bank. Walhal dia tahu, ada caj bank. Punyalah kedekut si Hashimah ni sampai anak suaminya hidup makan hati berulamkan jantung. 

      Bila Haikal dah besar pula, Hashimah cuba nak ‘control’ Haikal ikut cara dia. Memang tak lah Haikal nak ikut. Sebab tu dia selalu bertekak dengan mamanya sampai Hashimah tuduh Chef Hafiz Mudin yang hasut Haikal. Padahal sikap dia yang buat Haikal meluat. Dah lah selama Haikal belajar, jangan kata nak ambik tahu keadaan Haikal, inisiatif nak masakkan untuk Haikalpun takde. Tup-tup, dia nak Haikal nikah dengan Tina, anak jirannya. Nak tahu sebab apa Hashimah pilih Tina? Sebab Tinapun spesis macam dia jugak, kedekut. 

      Tapi Hashimah tak kenal Lela. Lela ni spesis tak nak mengalah jugak. Tak nak mengalah dari buat Hashimah terima dia jadi menantu. Lalu dia pujuk Haikal supaya berbaik dengan Hashimah. Lagipun papa mertuanya juga minta dia buat macam tu sebab dah tak tahan lagi Hashimah tuduh dia hasut Haikal. Walaupun Hashimah tarik muka malaunnya, tapi Lela tetap juga pergi rumah dia. Mujurlah ayah tiri dan adik-adik tiri Haikal jenis yang baik dan sukakan Lela yang pandai ambik hati mereka. Tak lah kepala batu macam Hashimah.  


      Dah nak masuk bulan puasa. Lela rancang nak berbuka sebulan dengan Hashimah dan keluarganya. Papanya sedang belayar dan papa mertuanya sibuk di hotel sepanjang Ramadhan. Lela fikir tu lah masa sesuai rapatkan hubungannya dengan keluarga ibu mertuanya. Mulanya Haikal tak setuju, tapi Lela ni jaguh bab pujuk-memujuk ni. Lalu sebab sayang bini punya pasal, Haikalpun ikut je. Mulanya, Hashimahpun tak nak. Tapi suami dan anak-anaknya pujuk supaya dia bagi peluang pada Lela untuk buktikan Lela boleh jadi menantu yang baik. Lagipun Lela dan janji, selama sebulan puasa ni, dia sendiri akan keluar belanja untuk mereka sekeluarga buka puasa. Cuma Lela minta pinjam kuali Hashimah je sebab dia nak masak di situ. Sedangkan tong gaspun, Lela beli sendiri. Disebabkan sikap bakhil menguasai diri, Hashimah terpaksa bersetuju. Lagipun sebulan tu beb, makan tanggung. Takdelah rabak poket dia keluar duit beli lauk.

      Maka masuk bulan puasa, Lela banyak habiskan masa di rumah Hashimh, walaupun Haikal selalu mengelat sebab tak nak berlama di sana. Lela manfaatkan masa itu untuk rapatkan hubungannya dengan adik-adik tiri dan ayah tirinya. Mereka pergi terawih, tadarrus, semuanya sama-sama. Sampai Haikalpun sama terbabit jadi baik dengan keluarga tirinya. Tapi yang tak syoknya, setiap kali buka puasa, mesti si Tina datang menyibuk bawak juadahnya juga. Memang tu rancangan Hashimah, nak jugak satukan Haikal dengan Tina. Bukan Lela tak tahu rancangan mama mertuanya tu. Tapi dia kan jenis selamber. Pandai pula dia menjawab kenakan Tina balik bila Tina menggedik dengan Haikal. Yang lawaknya, setiap hari makanan yang dibawa Tina terpaksa dihumban dalam tong sampah. Memang takde siapa nak layan makanannya sebab takde bahan. Kedekut punya pasal. Makanan yang tak cukup bahan mana sedap kan…

      Tapi Hashimah tak putus asa, plus Tina yang memang gedik nak jadi menantu dia walaupun En Manaf, Mila dan Adam meluat sangat. Mereka lebih sayang Lela dan sentiasa back-up Lela dari Hashimah dan Tina. Kini, Hashimah pula tuduh Lela nak pecah-belahkan dia dengan keluarganya. Betullah cara Lela tu, pikat hati dengan makanan. Kalau makanan serba kedekut, macam mana hati nak sayang?

      Suatu hari, Sharol datang KL kacau Lela. Boleh pula Hashimah dan Tina dapat tahu. Hashimah rasa, ni lah masa sesuai untuk dia pisahkan Lela dengan Haikal. Lalu, Lela dicanang dan dituduh mewarisi kecurangan ibunya. Disebabkan semuanya masuk sebelah Lela terutama sekali Haikal, Hashimah halau Lela dan tak izinkan Lela berbuka puasa lagi di rumahnya. Dan yang paling menyakitkan hati, bila Hashimah cakap dia hanya akan pertimbangkan untuk terima Lela semula bila Haikal nikah dengan Tina. Memang tak lah Haikal nak ikut. Dahlah mak kedekut, takkanlah nak dapat isteri kedekut jugak. Memang siksalah hidup. Sejak itu, hubungan Hashimah dengan Lela semakin memburuk walaupun puas En Manaf dan anak-anaknya menasihatinya. “Macam manalah awak nak fikir dengan betul. Sel-sel otak awak tu tak berhubung sebab makan makanan tak berkhasiat. Sebab tu jadi bebal”, kata En Manaf yang dah fed-up nak nasihatkan isterinya.

      Haikal naik angin bila Sharol tak habis-habis kacau Lela. Kadang-kadang kerana Sharol, dia dan Lela ada masalah. Suatu hari, Sharol makan juga penangan Haikal. “Kau kacau isteri aku lagi, aku akan dapatkan perintah mahkamah. Aku cinta isteri aku. Apapun jadi, aku takkan lepaskan dia”. Terharu sungguh Lela bila dengar kata ikhlas Haikal itu. Dia tak sangka, dalam diam Haikal cintakan dia rupanya.

      Akhirnya, Hashimah jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital sebab badannnya kurang zat. Darah rendah, malah kandungan gulapun terlalu rendah dalam badan. Disebabkan dia dah tak izin Lela masak di rumahnya, maka Tina disuruh sediakan juadah buka puasa untuk anak-anak dan suaminya. Dahlah masak takde bahan, tak sedap pulak tu. Bila Mila dan Adam bersungut, katanya itu arahan Hashimah. Sampai akhirnya Adam sakit perut kerana keracunan teruk sebab Tina beri dia makan makanan yang rosak, tak nak membazir kononnya. Masa tu, En Manaf temankan Hashimah di hospital. Mulai saat itu baru Hashimah sedar yang sikap kedekutnya hampir meragut nyawa anaknya sendiri. Sekaligus, Tina kena ‘reject’ dari jadi menantu. Hashimah kesal dan nak mohon maaf pada Lela. Tapi kali ni, Chef Hafiz Mudin pula berkeras tak bagi jumpa sebab Hashimah dah hina Lela sebagai isteri Haikal.  Apalagi bila Hashimah rayu minta Haikal dan Lela beraya sama untuk pertama kalinya. Chef Hafiz Mudin tak mahu Lela yang baru disahkan hamil itu, jatuh sakit gara-gara Hashimah. 

      Kali ni, Haikal bawa Lela bersama papanya beraya di rumah Wan Ipah dan Mak Ngah di kampung. Tapi Hashimah dan keluarganya menuruti mereka ke sana untuk mohon maaf dan nak beraya bersama. Haikal dan Lela rasa seperti satu keajaiban yang membahagiakan tahun ini. Ketika inilah baru En Lukman buka rahsia yang bekas isterinya dulu meninggal kerana kanser payudara. Dan arwah dahpun menikah dengan Islam muallaf di sana. Lagilah Hashimah kesal sebab dah tuduh arwah macam-macam.

      Tapi bulan Syawalkan untuk bermaaf-maafan. Akhirnya keadaan jadi jernih dan mereka semua berbaik semula. Malah cinta Haikal dan Lela semakin mendalam dan mereka hidup bahagia sebagai suami isteri yang dinamik. Jarang ungkap cinta tapi tahu cinta itu ada, dari ‘body language’.

      TAMAT

      Comments

      Popular posts from this blog

      Klip Ep20 seni seviyorum - Cintaku Di Bumi Izmir

      Promo Ep27 Cintaku Di Bumi Izmir - UnifiTV Lagu Mimpi Yang Berulang (NovaBand)

      Fuhhh Beratur... di Okey Tv

      Sinopsis  Fuhhh Beratur adalah siri travelog BERMOTOR yang akan membawa penonton mengembara ke pulau-pulau indah yang terdapat di Malaysia sambil berpeluang bersantai dan menikmati apa saja makanan ataupun minuman viral sehingga ada yang sanggup beratur panjang untuk nya. Hefny Sahad merupakan pengacara siri ini. FUHHH BERATUR akan memulakan siri kembaranya dengan seorang pengacara lelaki BERMOTOR dalam misi percutian ke pulau-pulau di Malaysia. Dalam perjalanan ke destinasi terpilih, pengacara akan berhenti menjamu selera di tempat-tempat VIRAL/popular yang menjadi tumpuan ramai yang  berkonsepkan BERATUR. Tempat popular tersebut merangkumi semua peringkat dari restoran, kafe hinggalah ke gerai di tepi jalan yang popular sehingga menjadi VIRAL. Sepanjang perjalanan pengacara akan mendokumentasikan keindahan dan kecantikan pemandangan yang dilewati. Pengacara turut akan menemubual pemilik kedai dan pengunjung atas jolokan BERATUR juga memberi komen jujur atas jolokan ya...